Petisyen tersebut digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menerusi tandatangan atas talian Change.Org itu turut memberitahu tujuan petisyen berkenaan dilancarkan.

GPS berkata, antara sebabnya ialah tindakan Waytha Moorthy yang telah memburukkan imej negara Malaysia di peringkat antarabangsa dengan menyebarkan fitnah bahawa kononnya rakyat Malaysia beragama Hindu didiskriminasikan dan perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor-sektor awam.

Tambahnya, Waytha Moorthy turut mendakwa rumah-rumah ibadat masyarakat beragama Hindu turut dirobohkan sesuka hati oleh pihak-pihak berkuasa di Malaysia.

“Selain itu, beliau berkeras mahu meratifikasikan ICERD, gagal untuk mengawal ketegangan kaum yang semakin memuncak sejak akhir-akhir ini walaupun telah diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai menteri dan mempunyai latar belakang yang agak kontroversial,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi portal Change.Org di sini hari ini.

Sebelum ini, video lama Moorthy tular di media sosial dengan kandungan memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.

Dalam kenyataan itu juga, GPS turut menuntut perlucutan jawatan Waytha Moorty sebagai menteri demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama serta latar belakang.

Dalam pada itu, menurut Waytha Moorthy wawancara beliau dengan stesen televisyen di Belanda 10 tahun lalu yang tular ketika ini dibuat selepas demonstrasi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) pada November 2007, di mana ketika itu beratus-ratus penunjuk perasaan ditangkap malah beliau sendiri turut ditangkap dan mendakwa telah diseksa.

Malah beliau turut mendakwa, kerajaan UMNO ketika itu menjalankan kempen propaganda palsu yang mengaitkan penglibatannya dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan cuba menjatuhkan kerajaan. - UTUSAN ONLINE