Secara tradisinya, kerusi itu milik BN namun pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), calon PKR, Fuziah Salleh menewaskan calon BN daripada MCA, Datuk Fu Ah Kiow dengan majoriti 1,826 undi.
Sebelum ini, Parlimen Kuantan diwakili calon UMNO sebelum kerusi tersebut diserahkan kepada MCA pada Pilihan Raya Umum 2004.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, UMNO kembali bertanding di kerusi berkenaan menerusi calonnya, Datuk Sufian Awang namun masih gagal merampas Parlimen Kuantan yang sekali lagi dimenangi Fuziah.
Dalam pada itu, keputusan pilihan raya umum lalu menyaksikan hanya Inderapura satu-satunya kawasan daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuantan yang berjaya dipertahankan BNDUN kerusi jirannya iaitu Teruntum kini disandang wakil PKR, Sim Chon Siang manakala Tanjung Lumpur diwakili Pas menerusi Rosli Jabbar yang juga Pesuruhjaya Pas negeri.
Meskipun berada di bawah pembangkang, Kuantan tetap menikmati pembangunan dan kesejahteraan yang mana usaha itu djuarai Barisan Nasional (BN) khususnya menerusi hasil perjuangan pemimpin UMNO di bahagian berkenaan.
Hasil perjuangan parti itu yang tidak jemu-jemu turun padang dan mengemukakan keperluan penduduk kepada kepemimpinan kerajaan, dapat membangunkan pelbagai infrastruktur seperti pembinaan jambatan, mengatasi masalah setinggan, kesesakan lalu lintas dan perumahan.
UMNO Bahagian Kuantan memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah setinggan di Tanjung Lumpur, Tanah Putih, Tanjung Api dan Galing dengan membawa isu tersebut kepada pucuk kepemimpinan kerajaan yang mana hasilnya kini boleh dikatakan Parlimen ini mencapai setinggan sifar.
Cadangan pembinaan laluan bertingkat di persimpangan empat Jalan Bukit Ubi ke Sungai Lembing turut disuarakan pemimpin UMNO bahagian itu yang memberi kesan positif dan keselesaan kepada kira-kira 100,000 penduduk dengan mengurangkan masalah kesesakan aliran trafik di bandar ini terutama pada waktu puncak.
Begitu juga dengan pelaksanaan projek infrastruktur sebuah jambatan baharu menghubungkan Tanjung Lumpur dan bandar ini yang sedang dalam pembinaan. Pembinaannya memberi impak besar kepada penduduk dari segi mengurangkan kesesakan trafik selain menjadi pemangkin ekonomi dan pembangunan setempat.
Realitinya, nikmat pembangunan yang dikecapi itu bukan kerana kehadiran pembangkang yang hanya tahu membangkang dari Parlimen tanpa melakukan perjuangan terhadap masalah rakyat, tetapi hasil perjuangan UMNO.
Dalam keadaan pembangkang kelihatan ketandusan isu untuk dimainkan dengan hanya memutar semula isu alam sekitar yang sudah ditangani kerajaan, faktor pemilihan calon mampu mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di kerusi tersebut. 
Sehubungan itu, apabila soal calon dibangkitkan, UMNO Bahagian Kuantan mahu semua pihak bersikap realistik dan mengutamakan kemenangan parti daripada berebut untuk menampilkan calon daripada komponen mana.
Dengan memahami dan menghormati bahawa soal calon diputuskan oleh pucuk kepemimpinan BN, Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat berkata, jentera UMNO Bahagian Kuantan sudah lama melakukan kerja turun padang mendekati rakyat bagi ‘membirukan’ semula Parlimen Kuantan.
Tanpa berselindung, beliau beranggapan calon daripada UMNO lebih berpeluang cerah untuk membantu BN merampas semula kerusi Parlimen Kuantan berdasarkan kerja buat jentera parti itu selama ini.
“Kita sepatutnya mengutamakan apa yang paling penting iaitu kemenangan BN. Sebab itu kita mahu kerusi ini ditandingi calon daripada UMNO kerana dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk menang.
“Dari satu sudut lain pula, tiada istilah UMNO dipinjamkan untuk bertanding di kerusi ini tetapi UMNO Kuantan yang lebih awal meminjamkan kerusi itu kepada MCA,” katanya di sini baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun tetap yakin bahawa pemilihan calon BN di situ berasaskan kepada parti dan calon boleh menang.
Ekoran itu, beliau meminta semua pihak berlapang dada dalam menerima keputusan yang bakal dibuat pucuk kepemimpinan BN kelak.
Atas semangat permuafakatan dalam BN, jentera parti berkenaan mesti sepakat menyatakan sokongan terhadap mana-mana calon daripada komponen dipilih.
Beri sokongan tanpa berbelah bahagi dan elakkan unsur sabotaj sesama sendiri. Selebihnya. serahkan kepada pengundi membuat keputusan apabila tiba saatnya nanti. #sumber