Judul : Dek setahun jagung rosakkah BN sebelanga?
link : Dek setahun jagung rosakkah BN sebelanga?
Dek setahun jagung rosakkah BN sebelanga?
ULASAN l Tidak semena-mena tiga hari terakhir ini nama jagung tiba-tiba menjadi popular. Marah benar sesetengah orang apabila nama jagung disebut Datuk Seri Nazri Aziz.
Jagung tak salah apa-apa pun. Cuma kerana jagung setahun ada menteri nampak macam berkecil hati, dan ada juga seakan-akan bermuram durja.
Nazri tetaplah seorang Nazri.
Bagi sebahagian orang kelakuan menteri pelancongan dan kebudayaan itu menjengkelkan, tetapi jangan pula dimarah jika ada sebahagian yang lain terhibur dengan kepetahan mulut beliau.
Nazri seorang tokoh yang mendapat pendidikan sebagai peguam. Maka apa hairannya apabila beliau lincah berkata-kata dan selalunya bersahaja pula. Tajam menikam kata-katanya - itu antara kelebihan anggota parlimen Padang Rengas itu.
Nazri bukan tokoh yang baru dalam dunia politik. Sebelum ini namanya dikenali sebagai tokoh pemuda Umno walaupun tidak pernah menjadi ketua pergerakan itu.
Malah bagi sesetengah orang kisah beliau pada zaman pemuda dulu seakan-akan sebuah legenda urban yang berwarna-warni.
Di sebalik semua itu Nazri adalah contoh terbaik seorang pemimpin yang wala kepada pemimpin atasannya. Bagi sebuah kerajaan yang berdepan dengan pelbagai cabaran seperti hari ini Nazri adalah jawapan terbaik buat seorang perdana menteri seperti Datuk Seri Najib Razak.
Menteri-menteri lain bolehlah menjadikan beliau sebagai suri teladan bagi mendepani pembangkang dari segi dan arah mana pun
.
Apabila beliau mengkritik seorang daripada menteri kabinet Sarawak kelmarin, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Dia juga menggunakan bidalan semasa mengkritik itu.
Kalau dibandingkan dengan bidalan-bidalan semasa politik, rasanya ia jauh lebih murni daripada kata-kata kesat dan kejam sesetengah orang di pentas ceramah.
Nazri pernah terbukti begitu berterus terang dan 'kasar' apabila mahu berdepan dengan bekas ketuanya di kabinet suatu ketika dulu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jika dikenang ke masa tidak berapa lama dulu, putera sultan pun Nazri tidak hairan untuk berbalah, apa sangatlah dengan seorang wakil rakyat.
Apa yang boleh mengejutkan ialah bagaimana hujah Nazri dibalas oleh pemimpin-pemimpin BN Sarawak.
Memanglah ada juga yang terkejut dengan status Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, 55, yang sehingga kini kekal menjadi ketua pemuda BN Sarawak, tetapi itu adalah cerita yang lain.
Isu cukai pelancongan - juga sama seperti isu-isu melibatkan kepentingan umum yang lain - wajar dibahaskan dengan terbuka dan berani jika pun tidak secara jantan.
Kata kuncinya ialah: berbahas. Kita tidak perlukan - misalnya - orang gedebe seperti Leman Kampung Kelabu Asap untuk melempang sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangan seseorang menteri.
Kita juga mungkin tidak perlukan - misalnya - pegawai askar Wataniah yang terpaksa berpantun untuk menyampaikan maksud di hati.
Apa yang diperlukan ialah keterbukaan minda dan kepala yang dingin.
Ungkapan "setahun jagung" yang digunakan Nazri itu pula tidak wajar diterjemah secara harfiah sebaliknya ditaakul dengan latar budaya dan bahasa Melayu yang betul.
Jika ada pihak yang berasa anak jantan itu tersilap, maka betulkanlah dengan hujah yang jantan juga.
Mengelak dengan mengalihkan isu bersandarkan kata-kata "semangat kekeluargaan BN" misalnya tidak membantu meleraikan kemelut yang melanda.
Ia kira-kira sama seperti menyapu debu, sampah dan kotoran ke bawah tikar. Masalah tidak selesai, cuma tidak nampak buat seketika pada mata.
Apa yang kita perlukan sekarang - selain ratib "politik matang" - ialah perbahasan yang matang juga. Hujah dibalas dengan hujah. Jiwa harus besar dan jangan cepat sangat merajuk atau berkecil hati.
Bangsa yang besar mesti berfikiran besar juga. Hanya bangsa yang gagal gemar bercakap besar. Lebih malang apabila kita mengutamakan genggaman penumbuk, penampar, siku atau lutut untuk melawan hujah.
Biarkan Nazri dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berpolemik secara sihat dan dewasa.
Sepatutnya tidak akan rosak susu sebelanga hanya kerana setahun jagung.
Pihak ketiga pula bolehlah bertindak sebagai pemantau bagi memastikan hujah yang dikemukakan bersifat ilmiah dan tidak terbabas sehingga menyerang peribadi.
Di sana tentu ada banyak maklumat yang boleh diketahui dan dimanfaatkan oleh orang ramai. Misalnya, bagaimana rang undang-undang itu dibahaskan di Dewan Rakyat. Atau siapa anggota parlimen yang mengambil bahagian semasa ia dibentangkan.
Sebagai orang lama dalam politik, Abdul Karim tentu tidak ada masalah untuk mempertahankan hujahnya. Ia adalah bukti bahawa beliau adalah seorang ahli politik yang berpengalaman serta berwibawa.
Pada masa sama, wibawa Sarawak juga sedang diuji. Ketika Nazri dengan yakin menegaskan bahawa beliau adalah anak jantan, mana mungkin orang Sarawak - sebuah negeri yang selama ini digelar simpanan tetap buat BN - boleh membiarkan ia berlalu begitu saja.
Cuma kata dasarnya ialah: matang dan terkawal. Lazimkan amalan berpolemik secara sihat.
Kemudian bolehlah membezakan makna "setahun jagung" dengan "jagung setahun". Contohnya untuk setahun jagung tindakan yang wajar diambil ialah mematahkan tangkainya untuk direbus atau dibuat pengat.
Jagung setahun pula adalah produk yang matang dan boleh dimanfaatkan untuk dibuat benih untuk kemaslahatan masa depan. Tetapi hati-hati jangan tersalah simpan, kelak apa yang tinggal hanya tongkolnya sajalah.
Emosi cepat tersentap itu kita letak ke tepi dulu.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Appear first on Sapa Malaysia
Demikianlah Artikel Dek setahun jagung rosakkah BN sebelanga?
Sekianlah artikel Dek setahun jagung rosakkah BN sebelanga? kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Dek setahun jagung rosakkah BN sebelanga? dengan alamat link https://sapamalaysia.blogspot.com/2017/06/dek-setahun-jagung-rosakkah-bn-sebelanga.html